SALAM PERANTAUAN 1430H/2009M

Lemang, ketupat, rendang dan laksa,
Kus kus, bastela, syawarma dan panini,

Walau dipisah laut dan benua,

Jauh di mata tetap dekat di hati.




30 hari perjuangan di bulan Ramadhan tahun ini melabuhkan tirai akhirnya. 1 Syawal menjelma, berkunjung tiba. Kehadirannya disambut dengan takbir dan tahmid seisi dunia yang bersaudara atas nama Yang Maha Esa.



Pagi raya dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri bersama-sama. Disusuli khutbah yang memberi insaf dan mengundang air mata. Bersalaman, bermaafan sesama kita minta diampun salah silap dan dosa. Ada yang nakal nak minta duit raya walaupun dah sampai usia yang tak layak nak menerima. Saya belum bekerja, alasan mereka yang sayang nak keluarkan duit yang pelbagai warna.



Berkumpul sanak-saudara, ada juga dengan rakan sebaya. Masing-masing memperagakan baju raya yang dibeli sebelum, semasa atau selepas puasa. Ada baju Melayu, baju kurung, jubah dan kebaya. Tambah sikit eksesori; spek mata dan rantai mutiara. Ada jenama Malaysia, tak kurang juga buatan luar negara. Kasut bermacam-macam rupa, selipar jepun pun ada juga rasanya.



Bermulalah pesta rumah terbuka. Menghadap juadah beraneka, daripada rendang ayam sampailah kuih popia. Tak cukup dengan itu, nasi impit kuah kacang, lemang, ketupat; cakap saja apa, semua ada! Sambil makan, sambil dihidang dengan halwa telinga. Kalau merdu seronok mendengar, kalau sebaliknya, tak apa, tadah je la telinga.



Bagi yang tak sayang nyawa atau mungkin dah cukup amalnya, ataupun nak korban anggota, bolehlah main meriam buluh dan mercun bola. Orang bagi nasihat, tak nak dengar. Lepas ditarik nikmat yang ada, selamat mendengar ucapan " Kan aku dah kata..." atau " Duit raya boleh saja tapi, anggota...minta maaf, aku tak rasa nak derma la!" Jadi, beringat-ingatlah sebelum kena.



Yang berada di hujung benua, atau di mana-mana asalkan bukan Malaysia, tanah air tercinta, jangan sedih atau merana. Hari raya tetap ada, tak lari ke mana. Telefonlah keluarga yang jauh di sana, hantar gambar kat surat khabar biar masuk berita, muka terpampang dengan macam-macam gaya, berserta ucapan yang panjang berjela-jela, tanda ingatan terpahat sentiasa, kasih dan sayang masih terbina.



Tak apa ayahanda dan bonda, anakanda akan pulang dengan segera, selamanya menjadi permata keluarga, juga berjasa untuk agama, bangsa dan negara. Itu janji saya, bukan hanya cakap kosong, tak tentu hala. Kumohon restu dan doa, yang tiada putusnya daripada papa, mama, keluarga, sanak saudara, para pendidik yang besar jiwanya dalam mengasuh anak bangsa, serta rakan taulan di seluruh negara. Ampunkan salah silap sepanjang kita bersama. Semoga kita dipertemukan lagi dengan izin-Nya.



EID MUBARAK SAID
KULLU 'AM WAANTUM BIKHER

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
SEMOGA BERBAHAGIA SENTIASA

SALAM SYAWAL 1430H




CooLCheF :

Pantun daripada mama yang tercinta:

Pagi raya teringat kaklang,
Mengalir air mata sampai keluar hingus,
Berhati-hati di tempat orang,
Semoga bergembira makan kus-kus.


Hahaha...so lovely la this poem. I really like it!


~Salam Daripada Perantau Yang Merantau Di Perantauan~